Pada hukum asal, wanita yang kedatangan haid tidak wajib melaksanakan solat. Ini kerana haid adalah perkara yang mani' (penghalang) bagi kewajiban solat. Dalilnya adalah hadis Fatimah bin Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى
Maksudnya: “Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”
Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam mensyarahkan hadis ini: “Telah bersepakat para ulama bahawa ke atas wanita itu tidak ditaklifkan (diwajibkan) untuk bersolat dan tidak ditaklifkan untuk menggantikannya.” Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/22-23)
Solat yang ditinggalkan sewaktu haid tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Ini kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah ﷻ jadikan bagi wanita. Ini berdalil hadis yang diguna pakai adalah hadis Aisyah R.Anha:
كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid)."
Riwayat Muslim (335)
Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Berkata ashab kami (ulama Syafieyyah) setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaa (solat sunat) tawaf.” Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/26)
Kaum wanita juga tidak dibenarkan untuk tergesa-gesa untuk mandi bagi solat dan berhubungan kelamin sebelum darah haid benar-benar berhenti ini. Ini ditekan oleh Saiyidatina Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/171) dan al-Muwatta’ (189):
كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ
Maksudnya: "Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”
Dalam riwayat Imam Malik, diceritakan bahawa wanita-wanita tersebut sangat memberatkan diri dalam urusan agama sehingga mereka membawa pelita pada waktu malam berjumpa dengan Ummul Mukminin untuk memeriksa yang mereka sudah suci atau belum. Berkata Imam Ibn Abdil al-Barr Rahimahullah: “Ertinya Aisyah berkehendak agar kamu semua (kaum wanita) jangan terburu-buru untuk mandi wajib jika kamu nampak warna kekuningan, kerana itu adalah baki haid sehingga kamu nampak al-qossoh al-baido’ yakni cecair putih yang dikeluarkan oleh rahim (atau berdekatan dengan rahim) tatkala putusnya darah haid.” Rujuk al-Istidzkar (1/325)
Kaedah Menggantikan Solat Bagi Wanita Berhaid
Berkenaan kaedah mengqadakan solat bagi wanita, para ulama meletakkan dua kaedah berikut. Kaedah Zawal al-Mani` (Hilangnya Penghalang)
Berkata Imam al-Nawawi:
“Sekiranya berbaki pada waktu kadar takbiratulihram dan lebih, yang tidak sampai kadar satu rakaat, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih dengan sepakat Ashab, wajib ke atasnya solat berkenaan kerana dia sempat mendapat satu bahagian daripadanya sama seperti hukum sempat mendapat solat Jamaah.” Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/65)
Apabila hilangnya mani’ (penghalang solat, seperti haid, dan gila) sedangkan berbaki masa sebelum habisnya suatu waktu solat kadar takbiratul ihram dan lebih (satu lahzah dan lebih), maka wajib diqadakan solat itu. Begitu juga solat sebelum itu wajib diqada' jika solat itu daripada jenis yang boleh dijamak dengannya. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:
a) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Asar, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Asar dan mengqadakan solat Zuhur.
b) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Isyak, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Isyak dan mengqadakan solat Maghrib. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm.196-197)
Ini kerana waktu Asar adalah waktu darurat bagi solat Zuhur, dan waktu Isyak adalah waktu darurat bagi solat Maghrib. Rujuk kitab al-Tahqiq (hlm. 193-194) oleh Imam al-Nawawi.Kaedah Turu’ al-Mani` (Datangnya Penghalang)
Berkata Imam al-Syirazi:
“Sekiranya seseorang itu sempat mendapatkan sebahagian daripada awal waktu solat kemudian datang kepadanya suatu keuzuran… sedangkan dia sempat mendapat daripada waktu itu masa yang yang cukup untuk dia solat fardu… maka kekallah kewajibannya dan wajib qada' jika hilang uzur itu.” Rujuk al-Majmu` (3/66-67)
Apabila haid datang, setelah berlalunya waktu solat dengan kadar perlaksanaan solat fardhu tersebut, maka wajib diqadakan solat itu, jika dia belum melaksanakannya. Ini kerana dia cukup masa melakukannya pada awal waktu, dan dia boleh bersuci seperti berwuduk dan mandi sebelum masuk waktu. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:
a) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti.
b) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, sebelum sempat berlalunya masa kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, maka tidak wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar itu. Contohnya, masuk waktu Asar jam 4.45 petang, haid datang pada jam 4.46 petang.
c) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar bersuci dan perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, dan dia tidak boleh bersuci sebelum masuk waktu disebabkan tayammum atau sentiasa dalam hadas (kes istihadah atau kencing tak lawas), maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti. Jika tidak sempat bersuci dan menunaikan solat fardu, maka tidak wajib qada’. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 197)
Rumusan penting:
1. Tak perlu terburu-buru mandi hadas sebelum darah haid benar-benar berhenti. Contohnya kalau kebiasaannya period 6 hari, tapi hari ke-5 dah nampak kering kalau was-was tunggu sampai hari ke-6 baru mandi hadas dan qada' solat-solat fardhu yang ditinggalkan.
2. Kalau period habis pada waktu solat terakhir yang boleh dijamak (Asar / Isya'), maka wajib qada' solat sebelumnya (Zohor / Maghrib).
3. Period datang pada awal waktu solat fardhu contohnya masuk waktu jam 4.45 petang tiba-tiba kita dapati darah haid keluar jam 4.46 petang, maka tak wajib untuk qada' waktu solat tu. Tapi kalau selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan belum menunaikan solat tiba-tiba keluar period (contohnya lepas azan berhenti) maka wajib qada' solat.
Nota kaki: Aku yang dah umur 40-an pun kadang-kadang masih keliru bab-bab period ni. Semoga info ni menjadi panduan buat kita semua 😊