Masa mak di Bintulu, mak terlibat sebagai volunteer untuk Program ROSE, iaitu program kempen kesedaran membuat pemeriksaan saringan serviks / cervical screening di kalangan golongan wanita di Malaysia. Yayasan ROSE bukan setakat bantu wanita Malaysia buat pemeriksaan saringan serviks, malah uruskan temujanji susulan jika didapati keputusan screening positif, membuat kaedah kolposkopi dan menghantar sampel ke makmal untuk menentukan kehadiran sel kanser.
Sebagai seorang sukarelawan, mak pun dengan sukarela menjadi orang pertama di Bintulu yang membuat pemeriksaan saringan serviks kendiri menggunakan HPV PCR self-sampling test. Lepas 2 minggu, keputusan ujian mendapati positif HPV, maksudnya virus HPV dikesan pada pangkal rahim.
Sebelum aku cerita keadaan mak seterusnya, aku nak cerita tentang HPV PCR self-sampling test ni. Ramai wanita 30 tahun ke atas di Malaysia tak buat pemeriksaan saringan pangkal rahim / serviks sebab seriau nak buat ujian pap smear, betul tak? Walaupun bagi aku ujian pap smear ni tak sakit tapi tetap rasa malu dan tak selesa setiap kali nak pergi buat. Tapi alhamdulillah setakat ni aku buat pap smear keputusan menunjukkan normal.
Kalau korang rasa malu nak buat ujian pap smear, boleh cuba buat HPV PCR self-sampling test pulak. Dah namanya PCR, mestilah melibatkan batang kapas untuk ambil sampel. Tapi jangan risau sebab ujian ni kita buat sendiri tanpa perlu bantuan doktor. Tak sakit langsung ye. Boleh rujuk gambarajah kaedah buat HPV PCR self-sampling test di sini.
Back to my mom's story. Bila mak dapat result bagitau virus HPV dikesan pada pangkal rahim, mak pun disuruh hadir ke temujanji susulan bersama dengan doktor pakar Yayasan ROSE di Kompleks Wanita dan Kanak-kanak PPUM.
|
Seawal 7.30 pagi lagi dah sampai ke PPUM untuk temujanji susulan dengan doktor pakar Yayasan ROSE |
Kiteorang kemudiannya dibawa ke tingkat 4 dan kena bayar RM30 untuk mendaftar. Lepas daftar, rutin biasa kena ambik tekanan darah lepas tu tunggu giliran untuk dipanggil masuk.
|
Tunggu dipanggil masuk berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan kolposkopi |
Sementara menunggu, aku baca tentang prosedur kolposkopi ni di Internet. Secara ringkasnya, kolposkopi ialah satu prosedur untuk memeriksa serviks, vagina dan vulva dengan lebih mendalam untuk sebarang tanda-tanda penyakit seperti pra-kanser. Semasa kolposkopi, doktor menggunakan alat khas yang dipanggil kolposkop yang berfungsi seperti mikroskop untuk melihat imej dengan lebih dekat.
|
Prosedur kolposkopi dan keadaan pangkal rahim (Sumber imej: Google) |
Dalam 10 minit kemudian, mak dipanggil masuk. Sebelum buat prosedur kolposkopi, doktor pakar bertanya soalan-soalan berkaitan kesihatan mak. Selepas tu barulah doktor buat prosedur tu.
Alhamdulillah doktor pakar inform mak yang sel pangkal rahim nampak sihat tapi sebagai langkah berjaga-jaga dia buat juga rawatan iaitu buang lapisan atas pangkal rahim (tak sakit sebab doktor bagi ubat bius dulu) iaitu lapisan di mana virus tu berada. Lepas tu dia ambik sikit sampel untuk dihantar ke makmal untuk periksa kewujudan sel kanser. Dalam seminggu result dah dapat - alhamdulillah, ujian makmal mengesahkan tiada sel kanser dikesan pada pangkal rahim.
Dah alang-alang kat situ, atas saranan doktor pakar aku pun buat jugak HPV PCR self-sampling test. Sekejap je tak sampai 5 minit pun dan tak sakit langsung. Untung jugak temankan mak buat temujanji susulan ni sebab kalau buat kat luar, kena bayar RM400 lebih sebab alat ujian ni mahal. Since aku temankan mak dan doktor pakar Yayasan ROSE tu yang mintak aku buat, jadi aku tak dikenakan sebarang bayaran. Cuma kena tunggu 2 minggu untuk keputusan ujian sama ada virus HPV dikesan (positif) atau tak (negatif). Doakan semoga result PCR tu nanti negatif ye huhu.
Harap lepas ni lebih ramai wanita yang sudah berkahwin dan pernah melakukan hubungan seks buat pemeriksaan saringan barah pangkal rahim / kanser serviks sebab kanser ni ialah kanser ketiga terkerap dikesan dalam kalangan wanita.
Biasanya kalau dah ada simptom-simptom kanser serviks, kanser tu dah merebak atau dah pada tahap advanced. Sebab tu wanita digalakkan buat pap smear 3 tahun sekali. Tapi dengan adanya HPV PCR self-sampling test yang lebih tepat, ujian saringan kesihatan pangkal rahim ni boleh dijarakkan dari 3 tahun ke setiap 5 tahun.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang HPV PCR self-sampling test, boleh hubungi Yayasan ROSE di talian 03-8408 2211 (9 pagi hingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat) untuk buat temujanji.
Balik dari PPUM, aku bawak mak makan nasi kukus sotong besar di Shah Alam untuk celebrate result mak. Semoga mak terus sihat dan bebas kanser sampai bila-bila, اللَّهم آمين...
|
My mom, cancer survivor |