Baru-baru ni aku terbaca tentang seorang wanita yang sangat positif dan redha dengan ujian yang Allah turunkan ke dalam hidupnya. Selepas terlibat dalam kemalangan jalanraya yang mengorbankan nyawa salah seorang team dalam syarikatnya, dia disahkan buta kekal. Walaupun menjadi buta, Puan Masitah pilih untuk 'melihat' dari sudut positif. Kata-katanya berjaya menginsafkan ramai insan yang follow perkongsiannya di IG. Antaranya:
- Alhamdulillah, saya telah direzekikan merasai pengalaman menjadi seorang orang kelainan upaya (OKU).
- Menariknya menjadi seorang buta, saya tidak lagi takut gelap.
- Bila kita tak nampak, kita kurang menilai orang.
- Saya bertanya kepada Allah, adakah kerana ujian penglihatan ini adalah untuk saya masuk syurga, kalau ya saya redha.
- Saya lebih suka melihat semua perkara dari perspektif yang lebih menyeronokkan / menggembirakan hati dan boleh membuatkan kita move forward,
- Ujian saya panggil gurauan, kenapa? Saya harap atau assume yang Allah bergurau dengan saya, sebab kita hanya bergurau dengan orang yang kita sayang.
|
Sumber tangkap layar: IG @mashyta_oneandonly |
Banyak kali aku rasa malu dengan diri-sendiri bila terkenangkan penerimaan diri-sendiri dengan ujian Allah. Walaupun ujian yang sangat kecil, aku terus rasa down, rasa marah, menyalahkan diri-sendiri atau orang lain atas apa yang berlaku. Sedangkan ujian yang aku terima tu tak sehebat apa yang dilalui oleh Puan Masitah. Puan Masitah bukan setakat bersabar dengan peristiwa yang berlaku tapi dia redha dan menerima dengan senang hati (positif) atas apa yang berlaku. Bak kata Puan Masitah, cabaran tu bukanlah satu noktah, tapi permulaan baru.
Sifat Redha
1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah SWT.
2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah SWT.
3) Redha terhadap Allah SWT terbahagi kepada dua :
- Redha menerima peraturan (hukum) Allah SWT yang dibebankan kepada manusia.
- Redha menerima ketentuan Allah SWT tentang nasib yang menimpa diri.
Redha Menerima hukum Allah SWT
Redha menerima hukum-hukum Allah SWT adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah SWT kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.
Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT dan RasulNya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tetapi tidak! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu (Muhammad SAW) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh-sungguh". (Surah An-Nisaa': Ayat 65)
Dan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan RasulNya berikan kepada mereka sambil mereka berkata: 'Cukuplah Allah bagi kami, Dia dan RasulNya akan berikan pada kami kurniaNya, Sesungguhnya pada Allah kami menuju". (Surah At-Taubah: Ayat 59)
Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah SWT baik yang wajib mahupun yang sunnah, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah SWT hendaklah dijauhi dengan lapang dada.
Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah SWT. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (yang munafik) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah SWT, 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu', Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka". (Surah Muhammad: Ayat 26)
Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah SWT, yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.
Redha Dengan Qada'
Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah (malapetaka). Di dalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah SWT, iaitu mereka memuji Allah (bertahmid) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan Rasulullah SAW apabila memperolehi kegembiraan Baginda SAW berkata: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan".
Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda SAW mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas segala perkara" (Alhamdulillah ala kulli hal).
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah SWT dijelaskan didalam hadis Rasulullah SAW yang lain yang bermaksud:
"Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata: jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan: Allah telah mentakdirkan dan apa yang Dia suka, Dia perbuat!" Kerana sesungguhnya perkataan: andaikata... itu memberi peluang pada syaitan". (Riwayat Muslim)
Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :
- Pertama: Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah SWT memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
- Kedua: Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah SWT itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Demi Allah yang jiwaku ditangannya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika dia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya".
Sumber: Facebook Dakwah Sentap
Nota kaki: Masa untuk buang fikiran negatif dan perangai overthinking... Pilih untuk fikir positif, gunakan ayat-ayat positif dan tak over-analyse perkara yang berlaku dalam hidup. Pilih untuk jadi positif dan bersangka baik dengan Allah setiap masa.