Zaman yang serba canggih dan kreatif sekarang ni, ramai yang nak menampilkan kelainan dalam kad jemputan kahwin dieorang. Yang pasti kad digital sekarang semakin digemari ramai sebab bukan setakat mesra alam, tapi lebih jimat. Betul tak? Kad digital ni bukan je dalam bentuk imej tak bergerak, ada jugak bentuk yang lebih canggih contohnya kad yang interaktif.
Tapi bila terima kad jemputan kahwin terutama orang tua yang mungkin ingat kad tu dari saudara-mara / kawan-kawan, berwaspada bila nak bukak terutama kalau format kadnya tu suruh muat turun aplikasi ke dalam telefon.
Taktik terbaru ni aku dapat tau bila pagi tadi sepupu share screenshot mesej ni dalam Whatsapp group keluarga:
Nampak tak betapa licik scammer ni sebab bila pakcik tu tanya nombor siapa tu, dia suruh install dulu baru tau siapa yang bagi kad? Yalah, kadang-kadang ada orang terhilang nombor kawan atau tukar nombor baru, jadi mungkin pakcik tu ingat kad tu dari kawannya yang dia tak simpan nombor tu dalam hp.
Rupa-rupanya dah ada yang orang yang jadi mangsa taktik penipuan ni sebab mesej yang di forward tu bagitau kawannya pergi klik dan muat turun file .apk tu. Sedar-sedar duit dalam akaun banknya lesap.
Sekarang scammer dah tukar taktik sebab taktik iklan cuci rumah tu dah ramai yang sedar iklan tu scam. Jadi dia tukar hantar kad kahwin pulak. Maklumat nombor telefon sekarang bersepah dijual dalam dark web sekarang sebab tu senang-senang je dia menyamar hantar kad tu siap tulis nama penerima dalam mesej tu, supaya orang yang terima mesej tu percaya kad tu memang datang dari sumber yang boleh dipercayai.
PENGAJARAN kat sini:
- Jangan klik sebarang pautan dalam mesej dari nombor tak dikenali, terutama bila file tu hujungnya ada .apk (ni telefon Android je boleh install))
- Jangan muat turun aplikasi di luar Google Playstore / App Store / Samsung Galaxy Store / Huawei App Gallery atau app store rasmi dalam hp kita.
- Jangan isi maklumat perbankan bila diminta oleh aplikasi yang tak diketahui. Sentiasa semak alamat laman web bank ialah alamat yang betul (depannya ada https:// dan simbol mangga berkunci) untuk mengelak dari memasukkan maklumat bank (nama dan kata laluan) dalam laman web palsu yang menyerupai laman web bank.
- Jangan bagi kebenaran untuk sebarang aplikasi mengakses SMS dalam hp.
Scammer sekarang dah makin bijak, jadi kita kena jadi lebih bijak dari scammer. Kalau kita terleka dan scammer lesapkan duit dalam bank, jangan pulak masa tu kita salahkan pihak bank tak jaga duit kita betul-betul. Ia umpama kita sendiri yang serahkan kunci rumah dekat pencuri lepas tu salahkan pintu tak jaga harta kita betul-betul. Kita pun bertanggungjawab upgrade pengetahuan kita tentang keselamatan digital kita terutama melibatkan perbankan dalam talian.
Apapun, semoga kita semua terlindung dari tipu daya scammer 🤲🏻 .