Sebenarnya dah lama aku tak menginap di hotel selain hotel-hotel bawah jenama Marriott Bonvoy (sebab nak kena kumpul Elite Nights dan kekalkan status Silver Elite setiap tahun), jadi bila wedding Nas dan Ariff ni buat dekat Hotel Thistle JB, ni peluang untuk aku merasa duduk di hotel selain hotel Marriott Bonvoy.
Dari luar bangunan hotel ni memang nampak gah dan unik sebab sedikit melengkung. Hotel Thistle JB terletak di tengah-tengah pusat bandaraya dan sangat mudah diakses dari pelbagai destinasi popular di sekitar bandar JB (lokasi hotel 30 minit je dari Singapura sebab tu ramai orang Singapura yang suka menginap di hotel ni). Hotel ni dilengkapi dengan dewan yang besar, kolam renang dan kemudahan tempat kereta bawah tanah yang luas. Dari segi star rating, aku tengok berbeza-beza - ada yang bagi 4 bintang dan ada yang bagi 5 bintang. Kalau dibandingkan pengalaman aku menetap di hotel-hotel lain, aku boleh katakan hotel ni 4 bintang. Kenapa aku cakap 4 bintang je ye? Nanti aku explain.
Bangunan Hotel Thistle Johor Bahru dari luar |
First impression aku, pintu masuk utama ke lobi agak grand macam hotel mewah. Tapi bila kiteorang sampai, takde staff yang tolong keluarkan luggage jadi kenalah buat sendiri. Berbeza kalau aku pergi ke hotel Marriott Bonvoy atau hotel 5 bintang yang lain, akan ada staff yang tunggu di luar lobi untuk tolong tetamu keluarkan beg dari kereta dan simpan atas troli beg untuk dihantar ke bilik.
Pintu masuk utama ke lobi hotel |
Melangkah masuk ke lobi, aku terus nampak kaunter pendaftaran. Cuma yang kelirunya takde signage yang barisan tu untuk daftar masuk / daftar keluar. Ramai jugak yang baru datang dan terus bertanya barisan yang mana untuk daftar masuk. Masa pendaftaran pun agak panjang. Tapi bila aku sampai kat kaunter dan bagi nombor tempahan di Agoda.com, dalam 5 minit je dah dapat kunci bilik. Jadi tak pasti apa yang menyebabkan proses menunggu tu lama sangat. Dari segi layanan, kakitangan di kaunter pendaftaran masa tu agak kurang mesra mungkin sebab terlalu sibuk dengan barisan tetamu menunggu untuk daftar masuk yang agak ramai. Tapi Kak Siti kata masa dieorang daftar masuk, dieorang dapat layanan mesra pulak. Jadi tahap perkhidmatan tak konsisten macam di hotel 5 bintang.
Kaunter daftar masuk tetamu |
Kiteorang ambik bilik Deluxe Twin Room (rate semalam RM279++). Biliknya luas dan selesa, dilengkapi dengan TV LCD, bathtub dan WiFi percuma. Kemudahan lain macam seterika, ironing board, cerek elektrik dan minuman (kopi, teh dan air botol) pun disediakan. Sayangnya, fungsi steam seterika dalam bilik kiteorang rosak sebab tangki airnya bocor dan air menitis-nitis keluar. Ironing board pulak ada paku di tengah-tengah, terpaksa pakai separuh ironing board je untuk seterika sebab takut baju koyak. Pihak housekeeping kena sentiasa check kemudahan dalam bilik ni dan gantikan dengan yang baru kalau ada kerosakan untuk keselesaan tetamu hotel.
Bilik deluxe twin room (katil berkembar) |
Dalam bilik air pulak disediakan berus gigi, syampu, conditioner, shower gel, sabun dan tuala untuk 2 orang. Tapi satu je slack - takde alas kaki. Jadi kalau nak keluar dari bathtub, kena berhati-hati sebab lantai licin.
Ruang dalam bathtub yang luas |
Peralatan mandi yang disediakan |
Peralatan mandi yang disediakan |
Keseluruhannya aku puas hati dengan tahap kebersihan dan keselesaan bilik walaupun ada beberapa kelemahan macam yang aku ceritakan tadi. Lagi satu, kiteorang rasa aircond dalam bilik hotel tak cukup sejuk atau lambat sejuk (bukan bilik kiteorang je, bilik Kak Siti/Che Mat dan Amat pun sama). Macam bilik kiteorang aku dah set aircond temperature paling sejuk tapi malam tu aku tidur tak pakai selimut sebab tak rasa sejuk aircond tu. Cuma bila dah awal-awal pagi baru rasa sejuk sikit.
OK jom kita tengok pulak sarapan di Hotel Thistle JB ni. Bagi tetamu yang nak bersarapan di hotel, sarapan bufet disediakan di restoran Glass yang terletak di aras LG dari lobi hotel dan berdepan dengan kolam renang. Masa kiteorang pergi ni (Jun 2023), harga bufet ialah RM38 sekepala. Sangat murah bagi hotel 4 bintang.
Untuk ke restoran Glass, kena turun tangga dari lobi |
Seating area luas dan kalau tingkat bawah dah penuh, tetamu boleh pilih untuk duduk di tingkat atas. Cuma leceh sikit la kena naik tangga sambil bawak makanan. Satu lagi aku rasa slack sikit takde lif nak turun ke bawah, jadi kalau nak bawak orang tua yang berkerusi roda makan kat sini, rasanya susah sikit unless ada akses untuk kerusi roda yang aku tak tau la.
Restoran ni berdepan dengan kolam renang |
Dari segi variety makanan, ada banyak pilihan di hotel ni contohnya nasi goreng, mi goreng, nasi lemak, sosej, kari ayam, egg station, bread station, cereal station, porridge and noodle station, salad station dan roti canai. Dari segi rasa, sebenarnya bagi aku biasa-biasa je la tapi ada jugak menu yang aku suka contohnya bubur nasi berlauk. Pilihan kopi dan teh pun banyak di sini. Untuk harga RM38 sekepala, bagi aku berbaloi la bersarapan kat sini.
Antara makanan sarapan bufet di Hotel Thistle JB |
Bagi aku, penginapan di Hotel Thistle JB ni ialah value for money dengan harga bilik yang aku bayar tu. Yang penting bilik bersih, tilam dan bantal selesa dan kemudahan dalam bilik lengkap dan berfungsi. Kalau nak staycation pun boleh sebab dalam bilik ada bathtub boleh la anak-anak mandi sepuas-puas hati dalam bilik atau di kolam renang.
Overall, aku bagi rating 8/10.
Tapi kalau nak pengalaman 5 bintang masa staycation, pilihan aku setakat ni masih lagi hotel di bawah jenama Marriott Bonvoy. Korang pulak suka duduk hotel apa?