|
Kredit imej: Google |
Zaman Dulu:
- Door gift kenduri diberi masa kenduri kahwin. Kenduri lain (aqiqah, doa selamat dan tahlil) tiada disediakan doorgift.
- Doorgift untuk tetamu berupa telur ayam yang dibungkus dalam kertas berwarna atau tuala kecil, atau gula-gula dalam uncang berwarna-warni.
- Nilai doorgift murah dan tak membebankan keluarga pengantin. Tiada siapa yang akan mengata nilai doorgift sebab mana-mana kenduri pun akan dapat telur rebus atau gula-gula.
- Tetamu khas contohnya ahli keluarga terdekat yang dijemput menepung tawar pengantin atau orang kerja kahwin dapat doorgift special sikit i.e. bunga telur atau wajik. Pengantin biasanya beri penghargaan untuk orang kerja kahwin dengan hadiah kain untuk buat baju kurung / kain batik dan bawak balik lauk kenduri.
vs.
Zaman sekarang:
- Door gift disediakan untuk semua kenduri - pergi majlis Yasin pun kadang-kadang dapat doorgift jugak.
- Doorgift dah bermacam-macam bentuk - lazimnya senaskhah buku Yasin atau amalan doa, barang kaca, sejadah mini, tasbih digital, set sudu garfu, dompet syiling, kuih bahulu dan gula-gula. Ada juga tuan rumah bagi doorgift yang unik - roti bantal, biskut, coklat dengan bungkusan personalized, tudung, macaron, sos, kicap malah beras pun ada.
- Kalau beri doorgift murah ada segelintir tetamu kutuk tuan rumah - susah-payah datang dari jauh cuma dapat doorgift sekian sekian seolah-olah dia datang kenduri tu tidak dijamu makan sedap-sedap. Mungkin dia ingat nilai doorgift tu mesti sama dengan nilai hadiah atau salam kaut yang dia beri kepada pengantin.
- Di sesetengah kenduri, nilai doorgift mengikut status tetamu - tetamu kehormat atau berpangkat dapat doorgift yang lebih mewah, tetamu marhaen dapat doorgift yang murah.
Sebenarnya aku tergerak hati menulis pasal doorgift kenduri ni lepas terbaca penulisan seseorang dalam UIA Confessions pagi semalam. Memang la orang kata datang kenduri / rumah orang dengan mata buta dan mulut bisu, maksudnya balik dari kenduri tu kita tak payah la komen lebih-lebih. Tapi ada betul jugak apa yang penulis tu ceritakan tentang budaya pemberian doorgift sekarang.
1. Pemberian doorgift yang membazir
Kadang-kadang pemberian doorgift tu jadi satu pembaziran. Aku setuju dengan penulis bila dia kata tak perlu bagi buku Yasin kepada tetamu (mungkin ada yang tak setuju dengan aku). Pengalaman aku sendiri bila dapat buku Yasin ni aku simpan dalam almari sampai bertimbun-timbun sebab semua kenduri aku pergi akan bagi hadiah buku Yasin. Nak buang, ada ayat suci Allah. Nak sedekah di masjid / surau, berlonggok dah buku Yasin di sana. Sama jugak dengan hadiah doorgift hiasan kaca atau benda bukan keperluan yang masa buat major housekeeping benda-benda ni akan masuk tong sampah akhirnya. Aku suka doorgift dulu-dulu yang simple macam tuala kecil balut telur rebus, lepas majlis boleh buat sapu tangan untuk lap muka atau kain lap.
Doorgift yang tak membazir ialah makanan sebab tak perlu disimpan. Pernah sekali kiteorang balik dari kenduri terperangkap dalam traffic jam yang lama. Door gift makanan ni la jadi penyelamat dari kebulur dalam traffic jam kat highway.
2. Ikhas dalam memberi
Nak bagi doorgift kena seikhlas hati, jangan sampai membebankan diri-sendiri untuk sediakan doorgift. Tak perlu sampai mintak sponsor saudara-mara. Kalau ada rezeki lebih nak bagi lebih, silakan. Kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan. Nak bagi macaron, gula-gula kapas, kek lapis, beras sekampit atau semuanya sekali dalam satu beg door gift tu pun boleh. Pokok-pangkalnya, tak membebankan dan ikhlas. Kalau dah bagi doorgift mahal-mahal, jangan la mencebik mulut pulak bila dapat salam kaut yang sikit. Mungkin tetamu tu tengah 'sesak' tapi dia usahakan jugak datang ke kenduri walaupun kena memandu berjam-jam bayar minyak, bayar tol dan sediakan duit salam kaut ikut kemampuan dia. Sebab tu ikhlas tu penting uolls.
3. Elakkan budaya kasta dalam pemberian door gift
Dato' / Tan Sri / Tun dapat doorgift sebakul hamper. Tetamu yang lain dapat doorgift senaskhah buku Yasin dan jajan. Kononnya menghargai kesudian VVIP ni mencemar duli ke majlis dalam kesibukan dieorang selain nak tunjuk majlisnya ada class... Jangan beza-bezakan tetamu. Tetamu ni kita jemput, jadi adab kena jaga. Nabi SAW bersabda, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tapi kalau nak bagi ekstra untuk VVIP / saudara-mara terdekat jugak (mungkin tetamu VVIP atau saudara-mara ni tolong sponsor majlis tuan rumah), bubuh la dalam beg doorgift yang sama supaya tak ketara sangat layanan berbeza tuan rumah kepada tetamu. Tandakan supaya tak terkeliru isi di dalam. Ataupun bagi yang ekstra tu selepas majlis, supaya tetamu yang lain tak terasa hati.
4. Tetamu pun kena jaga adab
So far aku tak pernah jumpa lagi tetamu yang depan-depan tuan rumah kutuk hadiah doorgift yang diterima. Kebanyakan kita ni dapat hadiah doorgift tak kira la mahal ke murah ke asal dapat je dah happy. Aku paling suka dapat telur pindang weyh. Sedapnya, jarang-jarang dapat sekarang, kalau dapat tu kemain lagi dalam kereta lagi aku dah kupas kulit dan makan kihkih. Tapi tak dinafikan ada jugak tetamu bawang rangers sejenis yang dapat doorgift laju je dia bisik kat kawan sebelah tanpa segan-silu depan-depan tuan rumah atau wakil, 'Ini je dia bagi? Minggu lepas aku pergi kenduri Senah bukan main meriah doorgift aku dapat. Kedekut ta** hidung masin betul tuan rumah!'
Tetamu kena ingat adab menziarahi tuan rumah hendaklah dia jangan menyakiti hati tuan rumah. Daripada kutuk tuan rumah, lebih baik doakan rezeki tuan rumah supaya lain kali dijemput lagi, tuan rumah ada rezeki lebih untuk bagi doorgift yang lebih meriah.
Ni pandangan peribadi aku terhadap budaya doorgift dalam masyarakat kita sekarang. Selain tu, aku rasa baik go back to basic macam dulu, doorgift ni bagi masa kenduri kahwin je. Tak la masyarakat kita sampai expect yang semua kenduri kena bagi doorgift. Agak melampau la kenduri tahlil pun kena sediakan doorgift (buku Yasin dengan nama arwah di dalam).
Apa pulak pendapat korang dalam hal ni?