Semalam mak selamat sampai ke KL dari Bintulu. Hari ni dan besok, aku temankan mak ke Hospital Pantai KL untuk buat annual checkup di sini. Setiap tahun, mak kena datang ke hospital untuk buat pemeriksaan tahunan sampai doktor puas hati yang mak dah bebas dari kanser. Ni dah tahun kedua dia pergi pemeriksaan tahunan ni bermaksud dah 3 tahun sejak dia buat rawatan kimoterapi dan radioterapi.
|
Dah setahun tak jejak kaki ke Hospital Pantai KL |
Temujanji pukul 8 pagi, tapi 8.11 pagi baru masuk parking sebab nak keluar Sentul memang kena tempuh jem pagi-pagi. Macam biasa mak suruh aku pergi breakfast dulu sementara dia pergi ambik nombor giliran. Mak akan join aku lepas buat PET scan dan blood test sebab pagi ni dia kena puasa.
|
Mak seriau setiap kali kena masuk terowong ni, katanya dia rasa macam masuk alam kubur |
Hospital Pantai KL banyak tempat makan. Kalau rajin menapak, boleh ke food court. Tapi kesian pulak dekat mak, so aku pilih tempat dekat-dekat sikit. So pagi ni breakfast sandwich kayangan di O’Briens. Pesan hot chocolate dan sandwich chicken triple decker toastie. Harga semuanya RM36. Sandwich ni aku nak kongsi dengan mak lepas dia habis buat test nanti. Nak habiskan sorang-sorang memang tak dapat sebab banyak.
|
Makan separuh ni je boleh kenyang sampai ke petang |
Terkenang masa mula-mula mak bagitau kami yang doktor suspek dia ada kanser nasopharyngeal carcinoma (NPC) iaitu kanser yang berlaku di bahagian antara hidung dan tekak. Kanser ni selalunya berlaku di kalangan orang dari negara-negara Asia Tenggara, China dan sebahagian Afrika sebab negara-negara ni kebanyakannya mengawetkan makanan menggunakan garam. Puncanya, mak masa muda dulu ada masalah resdung yang teruk dan mak suka makan ikan masin atau pekasam. Sejak dari tu, aku stop makan ikan masin dan pekasam.
Kebetulan masa mak bagitau kami tu, aku baru dapat arahan pindah balik ke KL. Jadi kami adik-beradik berbincang bawak mak ke KL sebab di Bintulu takde doktor pakar kanser. Aku dan kakak sama-sama keluarkan duit simpanan untuk bayar rawatan mak di Hospital Pantai KL memandangkan adik bongsu baru je start bekerja. Tapi adik bongsu la yang selalu temankan mak buat radioterapi dan kimoterapi sebab ofis dia fleksibel sikit bab-bab ambik cuti.
Sebelum buat rawatan kimoterapi dan radioterapi, mak kena jumpa pakar gigi sebab lepas rawatan kanser, mak tak boleh cabut gigi. Jadi kalau ada gigi rosak, kena cabut sebelum mula rawatan kanser. Masa pergi jumpa pakar gigi, terbongkar la rahsia mak yang banyak gigi dia dah reput dan rosak teruk. Selama ni dia sorok sakit gigi dari kami sebab tak nak kena bawak jumpa doktor gigi. Patut la masa di Bintulu bila aku ajak mak ke doktor gigi ada je alasannya. Rupa-rupanya mak takut jumpa doktor gigi. Tapi pakar gigi ni pandai pujuk mak aku sampai mak setuju cabut semua gigi yang rosak tu. Sudahnya gigi mak tinggal beberapa batang je lagi.
Lepas tu baru la mak buat rawatan kanser. Bagi aku, rawatan kanser tu agak agresif sebab mak kena pergi kimoterapi setiap hari selama 4 bulan. Radioterapi pun kena buat tiap-tiap minggu. Masa ni paling mencabar emosi kiteorang sebab tak sanggup tengok mak muntah-muntah, batuk-batuk dan ada masanya dia tak nak makan. Badan mak susut 20kg dalam 2 bulan. Mak muntah-muntah sampai kena tahan di hospital, kami gilir-gilir jaga mak tak tidur malam kena standby suakan straw untuk mak minum air setiap kali tekaknya kering (which is, setiap masa). Di rumah kena pujuk mak makan, sebab dia makan bubur sesudu dah tak lalu makan. Bila dah berjaya makan, dia batuk sampai termuntah pulak. Kena makan lagi. Malam-malam dia tak boleh tidur sebab badan kepanasan efek ubat kimo, tapi tak boleh on aircond sebab batuk teruk. Kesan radioterapi, tekak mak jadi kering berbulan-bulan lamanya dan bahagian leher dan muka mak jadi hitam. Pernah ada kawan mak ni tegur muka mak hitam dan hidung mak nampak penyek, kecik hati mak. Kiteorang cuma boleh mintak mak bersabar sebab tak ramai yang tahu mak kena kanser.
|
Mak posing dengan hadiah birthday dari adik lelaki di Kuching |
Walaupun seksa menanggung semua tu, mak tak merungut pun, cuma pernah sekali dah tertanggung lagi dia menangis sebab termuntah atas katil. Kiteorang pujuk dia, belikan dia bunga barulah dia happy balik. Lepas habis rawatan, mak masih kena tanggung efek rawatan. Telinga mak dah tak boleh dengar sangat. Sekarang kalau bercakap dengan mak kena kuatkan sikit suara. Tapi ada masa dia dengar jugak. Dia kata telinga dia kadang-kadang ok, kadang-kadang tak ok.
Tapi ujian kanser ni ada hikmah di sebaliknya. Masa birthday mak tahun tu, ramai betul kawan-kawan mak yang kirimkan mak bunga, kek birthday, dan hadiah buat mak. Mak kata tak sangka ramai kawan-kawan baik di sekeliling yang prihatin tentang mak.
Mak pantang makan betul-betul dan bila check gula, doktor kata paras gula mak dah stabil. Sampai sekarang mak dah stop ambik ubat diabetes. Tapi kopi dia masih tak tinggal sampai sekarang 😂 Mak dan kopi berpisah tiada.
Lepas mak dah sihat, mak rajin join group pesakit kanser NPC sebab mak kata dia nak bagi semangat dekat pesakit-pesakit kanser yang tengah buat rawatan. Mak kata sokongan dari orang lain (anak-anak dan kawan-kawan) masa dia tengah struggle dulu yang bagi dia kekuatan dan semangat melawan perasaan nak give up buat rawatan. Sebab tu dia pun nak bagi semangat dekat orang lain sebab kita tak tau orang tu dapat sokongan ke tak dari orang-orang sekeliling.
Alhamdulillah, Allah beri kesembuhan buat mak dan aku doakan mak betul-betul dah bebas dari kanser. Tak sanggup rasanya tengok mak sakit macam dulu.
Pesan aku buat yang masih muda dan belum ada penyakit kritikal, baiklah korang ambik insurans perubatan dari sekarang sebab kos rawatan kanser ni berpuluh-puluh ribu. Aku menyesal tak ambik masa aku sihat dulu, sebab masa tu aku bergantung sepenuhnya dengan medical benefit di syarikat aku bekerja dulu. Lagi satu, aku risau kena scam sebab selalu baca kes orang ambik insurans perubatan tak pernah culas bayar bulan-bulan tapi bila sakit dan masuk hospital time nak claim kena reject atas pelbagai alasan.
Siapa tau ada tak syarikat insurans yang terima kalau kita dah ada penyakit kritikal (dalam kes aku, diabetes dan darah tinggi)?