Monday, January 30, 2023
Review Filem: The Red Point of Marriage / Noktah Merah Perkahwinan (Netflix)
Sumber: Twitter |
Sekarang ni hangat je cerita artis yang menghadapi masalah perkahwinan. Malas aku nak sebut nama, sebab satu Malaysia tahu siapa dan punca keretakan rumahtangga dieorang. Eh, sebut je la - sapa lagi kalau bukan Shakira dan Gerard Pique 👅 Mesti korang ingat aku petik nama artis Malaysia kan 😜
Tapi ada masanya rumahtangga tu retak bukan disebabkan orang ketiga tapi disebabkan isu-isu dalaman yang lama terpendam sampai akhirnya masing-masing rasa dingin je.
Sinopsis:
Cerita ni mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang dah berkahwin selama 11 tahun tapi hubungan dieorang bermasalah. Si isteri (Ambar) makan hati dengan sikap suami (Gilang) yang dia rasakan selalu mengelak berbincang tentang masalah antara mereka. Tapi pada masa yang sama, Gilang bercerita tentang masalah keluarga dengan ibu sendiri. Ambar jugak rasakan yang dia lebih berusaha menjaga rumahtangga dan anak-anak berbanding Gilang. Kemuncak masalah mereka terjadi bila ibu mertua mengungkit tentang masalah keluarga depan Ambar. Ambar rasa dikhianati sebab Gilang taknak bercerita dengan dia tapi takde masalah untuk bercerita dengan ibunya. Akibatnya dieorang bergaduh besar dan bersikap dingin antara satu sama lain. Ambar cuba untuk memperbaiki hubungan mereka dengan mengatur temujanji berjumpa kaunselor perkahwinan tapi Gilang masih lagi memilih untuk mengelak dari berbincang.
Dalam pada itu, muncul Yuli seorang gadis muda dalam hidup mereka. Kehadiran Yuli mengeruhkan lagi hubungan Ambar dengan Gilang apalagi Yuli sebenarnya jatuh cinta dengan Gilang. Ambar rasa kecewa sebab dia rasa Gilang lebih ambil peduli emosi Yuli berbanding emosi si isteri. Terjadi salah faham yang melibatkan Yuli sampai Ambar membuat keputusan meminta cerai. Adakah perkahwinan mereka hancur atau masih ada sinar untuk mereka?
OK sekarang review aku. Secara jujur, aku memang impressed dengan kelainan cerita ni dibandingkan dengan filem tentang hubungan dan rumahtangga yang lain. Pertama, cerita ni bermula dari perspektif orang ketiga iaitu Yuli. Yuli ni rupa-rupanya ialah anak saudara kepada kaunselor perkahwinan dalam cerita ni. Dia ni baik sebenarnya, sebab walaupun dia jatuh cinta dengan Gilang tapi dia taknak meruntuhkan perkahwinan Gilang dengan Ambar. Dipendekkan cerita, dia bukan kaki sondol la.
Yuli (Sheila Dara Aisha) |
Kemungkinan dia jatuh cinta dengan Gilang sebab sikap Gilang yang gentleman dibandingkan dengan teman lelaki Yuli, Kemal. Bila dia bekerjasama dengan Gilang untuk projek restoran Kemal, lama-lama dia jatuh cinta sebab tak dapat perhatian yang sama dengan Kemal. Bila Ambar sedar Yuli mesra dengan suaminya, dia yang mula-mula merajuk lepas gaduh besar tu, mula rasa tergugat dan cemburu dengan kemesraan dieorang.
Kedua, aku impressed dengan watak kaunselor perkahwinan, iaitu Mbak Kartika dilakonkan oleh Ratna Rantiano. Aku petik ayat-ayatnya yang paling mendalam,
'Bahawa keberadaan saya di sini bukan untuk menyelamatkan perhubungan pernikahan kalian, tapi hanya membantu masing-masing kalian untuk mendapatkan kebahagiaan yang kalian butuhkan.'
Kita selalu salahfaham tugas kaunselor perkahwinan ialah untuk menyelamatkan rumahtangga yang berantakan, tapi bila dengar ayat ni, baru aku faham tujuan sebenar kaunselor ialah untuk tolong klien buat keputusan terbaik buat masing-masing dan keluarga. Apa gunanya bertahan dalam perkahwinan toksik kalau kesannya lebih memudaratkan contohnya kepada anak-anak? Kalau perpisahan membolehkan masing-masing move on dan beroleh bahagia, bukankah lebih baik? Betul, perceraian sangat dibenci oleh Allah tapi dibenarkanNya seandainya dengan bertahan akan lebih memudaratkan.
Cerita ni sebenarnya sesuai ditonton dengan pasangan masing-masing sebab banyak pengajaran yang boleh diambil dari filem ni. Pertama, masalah rumahtangga perlu dibincangkan antara suami isteri, bukan dengan orang luar seperti ibubapa / adik-beradik / kawan, apa lagi curhat dengan kawan berlainan jantina is a big no-no.
Tapi kalau tak jumpa jugak jalan penyelesaian antara kedua-duanya, macamana pulak tu?
Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa’, ayat 35 yang bermaksud;
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakai baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”
Maksudnya boleh lantik ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang bertujuan mendamaikan suami isteri ni, bukan tambah garam ye.
Pengajaran kedua, suami jangan ambil lewa peranan dalam rumahtangga dan emosi isteri. Dalam kisah ni, ada satu babak ni Ambar geram sebab Gilang lupa nak sapu ubat ekzema (kot?) kat belakang badan anak dieorang, Bimas. Nampak remeh kan? Tapi benda tu penting sebab kalau terlupa sapu, kulit Bimas makin teruk. Gilang patut tau dan sama-sama ambil berat.
Contoh lain suami ambil lewa peranan dalam rumahtangga ialah bila berat tulang bab-bab kerja rumah. Isteri minta tolong buang sampah, suami jawab nantilah. Lepas tu lupa. End up isteri juga yang buat. Dari pandangan suami, benda tu bukan masalah besar sebab esok pun boleh buang jugak. Tapi isteri fikirkan sampah ni mengundang lipas dan bau busuk, which is benda tu masalah besar bagi isteri. Bila isteri marah, suami tak faham kenapa kena marah-marah benda kecik, itulah maksudnya ambil lewa emosi isteri.
Tau tak ada satu kajian mendapati kebanyakan isteri membawa lebih banyak beban mental (mental load) berbanding suami? Contohnya, bangun-bangun tidur, siapa yang kena fikir nak sediakan lauk apa untuk sarapan pagi / bekal sekolah / bekal lunch suami? Isteri. Balik kerja, suami tanya masak apa malam ni? Automatik dia dah bagi beban kat mental isteri untuk fikir lauk apa yang perlu disediakan walaupun isteri sendiri pun letih balik dari kerja jugak. Sebelum tidur, isteri biasanya yang kena fikirkan apa yang perlu disiapkan sebelum masuk tidur. Tutup tingkap, buang sampah, cuci pinggan-mangkuk semuanya isteri kena ingatkan atau mintak tolong. Suami tak payah fikir semua tu, mana yang rajin bila isteri suruh dia buat. Tapi pokoknya, dia kena disuruh dulu, kalau harapkan inisiatif suami, mungkin pinggan-mangkuk sampai ke pagi masih berlonggok dalam sinki. Kalau pergi bercuti, siapa yang kena plan nak kemas berapa pasang baju, nak kena bawak apa, cari hotel dan rancang tempat percutian? Most likely ialah isteri. Hal persekolahan anak-anak biasanya suami serahkan kepada isteri. Nak hantar sekolah mana, balik sekolah hantar kemana pulak, isteri jugak yang kena cari dan fikirkan. Isteri kena berfikir lebih banyak dari suami dalam semua hal sebab tu beban mental isteri lebih tinggi. Tak hairan kenapa ramai golongan isteri yang stress dan jadi pemarah atau menghidap kemurungan bila semuanya atas batu jemala si isteri.
Ketiga, komunikasi antara suami isteri kena berlaku. Jangan dipendam-pendam sampai akhirnya meletus. Walaupun mungkin payah untuk berbincang, tapi kena jugak usahakan supaya masing-masing terlepas buku di hati. Makan hati sepatutnya tak berlaku dalam rumahtangga sebab lama-lama dah takde hati dekat pasangan akhirnya mengundang perceraian.
Ringkasnya, filem ni sangat, sangat best bagi aku. Lakonan yang mantap, skrip yang realistik dan kesudahan yang memuaskan hati... Aku tak berapa minat cerita yang watak jahatnya sampai buatkan darah kau naik. Dalam cerita ni bagi aku watak jahat ialah si Kemal sebab dia layan Yuli dengan buruk. Tapi watak Kemal tak mendominasi cerita ni jadi takde la sakit hati sangat. Watak yang sepatutnya jahat ialah orang ketiga dalam rumahtangga pulak end up baik. Aku jadi kesian dengan Yuli sebab akhirnya dia tak dapat lelaki yang dia cinta dan kena tinggal boyfriend jugak. We need more would-be third person to be like Yuli! Malah dia yang berusaha menerangkan status sebenar hubungan dia dengan Gilang dekat Ambar dengan harapan Ambar tak jadi menceraikan Gilang.
Kesimpulannya, aku bagi rating 5/5 dan berbaloi untuk ditonton. Lepas tonton cerita ni, kongsikan pendapat korang jugak ye.