Selamat berhujung minggu semua,
Nampaknya bahang politik masih lagi hangat walaupun selepas keputusan PRU15 dah diumumkan. Dengan tiada parti yang memperoleh majoriti mudah, nampaknya Malaysia masih lagi menunggu siapakah yang akan membentuk kerajaan yang baru lepas ni. Apapun, kita doakan yang terbaik dan pemimpin yang menjadi pucuk kerajaan baru nanti akan melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan berwawasan.
OK la, setakat tu je nak sentuh pasal politik. Anyway, hujung minggu lepas, kami ke Society For The Prevention of Cruelty To Animals (SPCA Selangor). Khadeeja dah lama memujuk bapaknya untuk ambik kucing peliharaan bagi mengubat rindunya pada kucing peliharaan kami di Bintulu yang kami gelar 'Kitty'.
Rindunya dengan Kitty... |
Sayangnya bila pindah ke KL, kami tak dapat nak bawak Kitty sekali memandangkan kami berpindah semasa tempoh PKPB, jadi urusan nak bawak ke Kitty ke KL sangat sukar. Akhirnya kami dengan berat hati menyerahkan Kitty kepada boss aku yang sememangnya peminat kucing. Siapalah yang tak nak - Kitty tu kami bela dari dia kurus-kering dan bulu comot sampai la dah jadi cantik, bulu kembang, dah dimandulkan dan divaksin. Sampai Khadeeja menangis-nangis masa meninggalkan Kitty di rumah tuan baru.
Suami Terchenta berjanji dengan Khadeeja bila dah duduk di rumah sendiri barulah Khadeeja boleh ada kucing peliharaan semula. Akhirnya tercapailah hajat Khadeeja bila kami bawak dia SPCA Selangor.
Khadeeja dan kucing peliharaan baru, Louis |
Mula-mula sampai, kami diminta untuk mendaftar nama dan nombor telefon di meja pendaftaran. Lepas mendaftar, staf tunjukkan arah ke bilik kucing yang terletak di bangunan hujung sebelah kanan. Kami kena melalui kawasan lapang di mana ada sangkar-sangkar anjing. Kalau ada anak kecik yang takut dengan anjing, elok jangan dibawa ke sini sebab kat sini anjing memang banyak dan selalu menyalak.
Di SPCA pun ada klinik veterinari |
Aku agak kagum dengan bilik kucing di SPCA yang lapang dan bersih. Nampaknya kucing-kucing di sini memang dijaga dengan baik dan rapi. Siap ada alat permainan dan tempat-tempat memanjat. Sangkar kucing pun besar dan luas.
Bilik kucing yang dijaga bersih. Kena tanggalkan alas kaki di luar. |
Masuk-masuk je Khadeeja terus capai alat mainan kucing dan bermain dengan anak-anak kucing di sini. Seronoknya dia melompat-lompat dan berlari-lari sambil dikejar oleh anak-anak kucing yang nakal dan suka bermain.
Awalnya dia teringin nak ambil anak kucing bawah umur setahun. Tapi aku tak setuju sebab anak kucing biasanya sangat aktif dan perlukan perhatian yang lebih, kalau tak habislah perabot di rumah dicakar kelak!
Anak kucing bermain dengan Khadeeja |
Hai korang, ni la anak jantan kami sekarang... |
Umur Louis rasanya sekitar dalam 3-4 tahun. Louis tak suka didukung tapi suka bermain. Makanannya cuma kibbles jadi tak susah la nak menjaganya.
Proses mengambil kucing di SPCA sangat mudah. Cuma perlu bayar RM240 termasuk sangkar kucing. Kucing-kucing yang diserahkan kepada SPCA semuanya telah siap dimandulkan dan diberi vaksin kucing jadi dah jimat kat situ. Lepas pilih kucing yang kita nak adopt, kucing akan dibawa ke klinik veterinari di sana untuk pemeriksaan sebelum kita boleh bawak balik.
Ikutkan hati memang aku teringin nak bela kucing baka macam Kitty sebab aku suka kucing berbulu kembang. Kitty ni sebenarnya diserahkan kepada kami oleh kawan aku Zura sebab dia berpindah ke KL. Kami ambil Kitty tanpa bayaran sesen pun. Cuma masa tu banyak jugak ongkos dihabiskan untuk memberi vaksin dan memandulkannya memandangkan Kitty dah pernah beranak tapi tak suka dengan anaknya.
Cumanya aku teragak-agak nak beli kucing apa lagi bila harga yang dikenakan sangat tak munasabah. Aku pernah contact seorang perempuan di media sosial yang mengiklankan anak kucingnya untuk dijual dengan alasan dia sibuk dan takde masa melayan kucing-kucingnya (dia ada 3 ekor kucing).
Aku offer harga beli selepas ditolak kos makanan kucing mahal (Royal Canin ye), pasir berkualiti dan kos vaksin dan mandulkan. Dah tentulah semuanya memakan kos yang agak tinggi. Tapi dia menolak dengan alasan harga yang dikenakan tu untuk memastikan tuan baru mampu serba-serbi untuk memelihara kucing baka mahal. Aku agak sebenarnya dia nak jual untuk dapat untung je. Dia tak tau Suami Terchenta ni peminat kucing, memang sanggup berhabis duit membeli barang-barang kucing! 😬
Dipendekkan cerita, sekali tu je la aku contact penjual kucing. Lepas tu kami ambik keputusan untuk adopt je dari pusat perlindungan haiwan #adoptdon'tshop. Selain dari kos yang rendah, kucing-kucing di sana semuanya dah divaksin dan dimandulkan jadi takdelah masalah kencing merata-rata dan bila datang musim mengawan.
Buat masa sekarang Louis masih lagi tengah menyesuaikan diri di rumah kami. Awal-awal tu adalah jugak ia mencari kawan-kawan di SPCA tapi sekarang ni hobinya lepak di atas tikar sejadah atau mengejar bola permainan.
Tak boleh nampak tikar sejadah, mesti dia nak 'landing' atas sejadah |
Kalau kami solat berjemaah, Khadeeja akan bentangkan sejadah mini untuk si Louis berbaring dan tak menghalang orang waktu sujud 😅 Padahal dalam sangkarnya ada je bantal selesa tapi tikar sejadah jugak yang diminati.
Harap-harap terubat la rindu dieorang nak ada adik yang tak kesampaian dengan adanya anak bulu sekarang ✌