Hari ini 22 Julai 2024, Sarawak menyambut hari kemerdekaan dari penjajahan British dan penubuhan kerajaan Sarawak pada tahun 1963.
Sebagai anak jati Sarawak, aku sangat bangga dengan pencapaian negeri Sarawak di bawah kerajaan negeri yang progresif sekarang ni. Aku ingat lagi masa aku sekolah rendah dan mula bersekolah di Selangor masa tu, masih ramai yang ingat orang Sarawak masih tinggal atas pokok dan bergerak ke mana-mana dengan sampan. Bila aku pindah balik ke Sarawak, kawan baik aku di sekolah lama hantar surat dan tanya macamana rasa kiteorang balik dari Semenanjung dan tinggal atas pokok balik? 😅 Padahal seumur hidup aku tak pernah pun tinggal atas pokok, malah lepas bapak balik dari sambung belajar, gomen bagi duduk rumah banglo lagi tu. Tapi itulah persepsi masyarakat satu ketika dulu.
Sekarang alhamdulillah, Sarawak dah pesat membangun. Ambik contoh bandar tempat aku membesar dan pernah bekerja beberapa tahun dulu. Masa aku mula-mula berhijrah balik ke Bintulu dari KL, Bintulu ada satu je shopping mall. Tu pun shopping mall yang takde apa-apa yang menarik. Kalau ada staff dari Semenanjung yang kena pindah ke Bintulu, ada yang sampai menangis ye sebab Bintulu takde apa-apa. Hospital swasta pun takde masa tu.
Lepas setahun dua, barulah Stabak masuk, kemudian ada Mekdi. Beberapa tahun lepas tu barulah ada shopping mall lain yang dibuka dan ada panggung wayang jadi tak payahlah kiteorang kena drive 3 jam ke Miri semata-mata nak tengok movie terbaru hihi. Sekarang dah ada GSC dan TGV, shopping mall pun sampai dah tak larat nak kira. Dari takde hospital swasta, dah ada dua hospital swasta untuk menampung keperluan untuk kemudahan perubatan di Bintulu. Bintulu sekarang dan Bintulu 10 tahun lepas masa aku mula-mula pindah balik ke sana sangat jauh berbeza. Semuanya sebab kerajaan Sarawak yang komited memastikan kekayaan hasil negeri dilaburkan untuk pembangunan negeri. Kalau tak, nama je bandar gas dan minyak tapi rakyat tak menikmati hasilnya.
Fakta menarik tentang Sarawak:
Cogan kata negeri Sarawak ialah "Dum Spiro Spero" (Berharap Selagi Bernafas / While I breathe, I hope) melambangkan semangat rakyat Sarawak untuk terus berjuang demi tanah air tercinta selagi nafas di kandung badan. Slogan ni juga dilaungkan oleh pahlawan-pahlawan Sarawak - Agi Idup, Agi Ngelaban (Selagi hidup, selagi itu berjuang).