Aku masih ingat lagi percubaan pertama aku buat roti homemade masa PKP dulu gara-gara bekalan roti di kedai semuanya habis dan susah nak dapat. Mesti korang ingat kan masa tu rakyat Malaysia sampai kejar lori Gardenia sebab stok roti terhad hahahaha! Tapi kat Sarawak takde roti Gardenia, still roti kat kedai roti biasa pun semuanya sold out. Demi anak-anak, aku pun cuba la buat roti homemade, tapi entah apa-apa la resipi yang aku jumpa kat YouTube / Google. Bila dah masak, rotinya keras macam batu! Baling kat dinding pun tak pecah ok! 🤣 Lepas tu aku serik nak cuba buat roti lagi sampai la tahun lepas baru aku confident sikit nak cuba sekali lagi buat roti.
Kali ni baru jumpa resipi yang betul-betul lembut, gebu dan sedap rotinya. Agaknya kalau ada mesin buat roti kat rumah, hari-hari kot aku akan buat roti bantal ni hehe. That's how good the bread is.
Buat 2 buku roti - yang pertama ni merekah sikit sebab suhu ketuhar agak panas so aku turunkan sikit suhu dari 200℃ ke 190℃ (resipi asal letak suhu 400℉ ≈ 202℃) |
Batch kedua ni lebih cantik kejadiannya, tinggal nak sapu mentega cair atas permukaan supaya nampak berkilat. Aroma tak payah cerita, memang semerbak wangi satu rumah! |
Hasilnya lepas dipotong - lembut dan gebu macam roti jual di pasaraya |
Sedap makan panas-panas dan lepas sejuk pun roti tak mengeras. Jadi aku nak letak resipi di sini senang untuk aku rujuk bila nak buat lagi lepas ni.
Resipi roti bantal ni aku modify dari resipi asal dari SINI.
Homemade Bread
(resipi ni menghasilkan 2 buku roti menggunakan loyang roti bersaiz 4 x 8 inci)
Bahan-bahan A:
- 2 1/4 sudu yis instant dibancuh dalam 90ml air suam dan biarkan selama 5 minit
Bahan-bahan B:
- 320ml air suam
- 1/8 (atau separuh 1/4 cawan) gula kasar
- 1 sudu kecil garam
- 1 1/2 sudu mentega (unsalted butter) pada suhu bilik
- 4-5 cawan tepung (aku guna 2 cawan tepung roti dan 2 cawan tepung gandum/ all-purpose flour. Resipi asal guna tepung gandum je)
Cara-cara:
- Tuang air suam dari bahan B ke dalam Bahan A.
- Masukkan bahan yang sudah dicampur ke dalam food processor / mixer dan kacau sebati.
- Masukkan bahan-bahan B yang selebihnya ke dalam food processor / mixer dan pukul selama 7-9 minit pada kelajuan perlahan sehingga membentuk doh yang sedikit melekit.
- Sekiranya doh masih melekat pada permukaan mixer / food processor, masukkan 1/4 cawan tepung gandum dan pukul lagi. Ulang sampai doh tak lagi melekat di permukaan bekas.
- Masukkan doh ke dalam bekas yang sudah disapu mentega / minyak masak dan tutup dengan kain. Biarkan doh mengembang selama 1 jam.
- Selepas sejam, keluarkan doh dan letak atas permukaan rata yang sudah ditabur dengan sedikit tepung. Tekan-tekan doh untuk mengeluarkan angin.
- Panaskan ketuhar pada suhu 190 - 200℃ (bergantung dengan ketuhar masing-masing).
- Bahagi doh kepada 2 bahagian kemudian uli doh menjadi bentuk silinder dan mengikut saiz loyang roti.
- Masukkan doh ke dalam loyang roti yang sudah disapu dengan mentega cair, tutup dan biarkan doh mengembang lagi selama 30 minit.
- Selepas doh mengembang, sapu sedikit mentega cair atas permukaan doh dan bakar dalam ketuhar selama 30-35 minit. Aku tutup loyang roti dengan penutupnya selama 25 minit dan selebihnya aku buka penutup dan bakar sampai kekuningan.
- Keluarkan roti dari loyang dan sejukkan di atas redai.