Baca entri sebelum:
Untuk entri kali ni aku nak pecahkan kepada 4 bahagian mengikut kawasan yang kiteorang pergi pada hari ke-4 di Istanbul. Lepas sarapan di rumah, kiteorang berjalan kaki dari apartment di Şişli ke stesen subway yang terdekat iaitu Marmaray Sirkeci Istasyonu untuk ke destinasi pertama iaitu Sultanahmet:
|
Dari Marmaray Sirkeci boleh ambik subway ke Sultanahmet tapi kena tukar tren di stesen Yenikapi |
|
Stesen Yenikapi |
|
Bergambar depan mozek yang lawa di stesen subway |
Lokasi #1: Sultanahmet
Mula-mula sekali singgah di Sultanahmet Park sebab Khadeeja nak makan aiskrim dekat stall depan Hagia Sophia. Musim sejuk ye cari aiskrim 😅. Hari semalamnya staf kat restoran di Karakoy Pier tu gelakkan dia sebab pesan aiskrim tengah musim sejuk sampai dia merajuk dan menangis, lepas tu bersusah-payah la staf tu pergi cari aiskrim di kedai lain sebab dia rasa bersalah buatkan Khadeeja menangis bila tak dapat aiskrim! 😂 Adoi, buat perangai betul anak aku ni.
|
Gembira sebab dah dapat aiskrim walaupun kena bertarung dengan penjual aiskrim 😆. Gambar atas: suasana di Sultanahmet Park |
Lepas tu kiteorang berjalan sekitar kawasan tu tengok monumen dan bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Sultanahmet Square:
|
Obelisk of Theodosius, tugu ni dipindahkan dari Egypt ke Istanbul oleh pemerintah empayar Roman pada abad ke 4. Ancient relic ye tugu ni. |
|
German Fountain dibina sempena memperingati ulangtahun ke 2 lawatan Maharaja Jerman ke Istanbul pada tahun 1898. |
|
Muzium Hagia Sophia - tak masuk sebab berbayar dan takde dalam plan nak masuk ke sini |
Bila masuk waktu Zohor, kiteorang pun singgah ke Blue Mosque untuk solat jamak di situ.
|
Bahagian luar dan dalam Blue Mosque |
|
Subhanallah, cantik sangat masjid ni dengan binaan dari batu marmar untuk lantai dan dinding masjid |
Destinasi #2: Topkapi Palace
Antara tempat wajib singgah bila ke Istanbul buat pertama kali untuk mengenali lebih dekat sejarah dan kegemilangan kerajaan Uthmaniyah yang pernah memerintah Turki satu masa dulu. Topkapi Palace terletak tak jauh dari Hagia Sophia dan Blue Mosque, jadi jalan kaki je la nak ke sini. Pelawat dikenakan bayaran TRY1500 seorang untuk melawat kawasan istana je. Kalau nak masuk ke Harem section, kena tambah TRY500 lagi seorang. Memandangkan kawasan istana Topkapi ni luas, kiteorang rasa tak larat pulak nak masuk Harem section jadi buat keputusan untuk skip bahagian ni.
|
Bahagian luar Topkapi Palace termasuk taman dan pintu gerbang masuk ke istana. Sebenarnya banyak sangat gambar tak larat aku nak tepek semua jadi aku pilih je randomly je la hehe |
|
Yang ni pulak bahagian dalam beberapa bangunan dalam kawasan istana. Aku suka tengok hiasan siling dan kubah dalam istana ni, nampak berseni dan mewah menunjukkan betapa kayanya pemerintah kerajaan Uthmaniyah satu masa dulu |
|
Koleksi baju-baju Sultan - baju perang (bahagian bawah) disulam dengan ayat-ayat Quran sebagai pendinding dari serangan musuh |
|
Sebahagian harta milik Sultan-sultan kerajaan Uthmaniyah |
|
My favourite part - Chamber of the Sacred Relics yang mempamerkan peninggalan Rasul-rasul dan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Bila masuk ke muzium ni, ada bacaan al-Quran oleh qari yang akan duduk membaca al-Quran sepanjang hari di situ |
|
Dari luar Topkapi Palace boleh nampak selat yang memisahkan benua Eropah dengan benua Asia |
|
Pelan Topkapi Palace |
\ |
Bila penat berjalan, singgah di gerai menjual salep (minuman dibuat dari susu, serbuk salep dan serbuk kayu manis). Sedap tau minum panas-panas waktu musim sejuk |
Sebelum keluar meninggalkan Topkapi Palace, kiteorang singgah di Hagia Irene iaitu bangunan gereja yang kemudiannya dijadikan tempat penyimpanan senjata api.
|
Hagia Irene |
Destinasi #3: Basilica Cistern
Basilica Cistern ni sebenarnya ialah kawasan takungan air hujan bawah tanah yang dibina semasa zaman pemerintahan empayar Byzantine. Tujuannya untuk membekalkan air kepada Topkapi Palace dan bandar Istanbul pada masa tu.
Bayaran masuk ke sini ialah TRY600 seorang. Bila masuk ke sini, terpegun tengok senibina zaman dulu yang sangat teguh dan berseni menunjukkan kewujudan peradaban yang maju zaman tu.
|
Tiang-tiang yang menyokong ruang bawah tanah di Basilica Cistern |
|
Anak-anak dan merayau sekeliling, jadi mak bapak je la sibuk posing bersama |
Kiteorang masuk ke Basilica Cistern dalam pukul 5 petang tapi pukul 5 dah gelap dan dah masuk waktu Maghrib. Spent time dalam 30 minit je dalam tu sebab kawasan tu tak la besar sangat. Lepas melawat Basilica Cistern, berjalan semula ke Sultanahmet sebab anak-anak nak beli coklat yang berwarna-warni di salah satu kedai kat situ. Selain dari coklat dan gula-gula, ada saffron, teh herba, kekacang, buah-buahan kering dan rempah-ratus.
|
Coklat dan candies berwarna-warni yang dijual |
Destinasi #4: Taksim Square
Dalam kepenatan, kiteorang gagahkan diri ke destinasi terakhir iaitu Taksim yang terkenal sebagai pusat membeli-belah, restoran dan hotel di Istanbul. Plan asalnya nak naik tram yang famous dekat situ, tapi takde rezeki pulak. Jadi kiteorang cuma bergambar dan berjalan-jalan tengok suasana di Taksim Squara pada waktu malam. Kawasan ni mengingatkan aku dengan suasana di Bukit Bintang, padahal tak sama pun. Mungkin vibe kat sini kot yang buatkan aku rasa macam tu.
|
Taksim tram (kredit foto: introducingistanbul.com) |
|
Bergambar di depan Taksim Camii (masjid Taksim) dan Taksim Republic Monument |
|
Tempat ni penuh dan sesak bukan setakat dengan pelancong asing malah penduduk Istanbul sendiri |
|
Dekat sini pun ada Madame Tussauds Museum tapi tak masuk sebab dah penat dan tiket pun mahal |
Waktu nak balik tu, Suami Terchenta dah sakit pinggang dan tak larat nak menapak ke stesen subway terdekat. Sudahnya kiteorang panggil Uber untuk balik ke apartment. Penat tapi puas hati dapat cover banyak tempat tarikan pelancong dalam sehari.
Esoknya, kiteorang meneroka kawasan Istanbul di benua Asia pulak iaitu Üsküdar. Nantikan...