|
Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober setiap tahun |
Semalam merupakan World Mental Health Day. Bercakap tentang mental health / kesihatan mental ni, bulan lepas aku join webinar bertajuk "Shining a Light on Suicide Prevention" yang dianjurkan oleh Naluri. Webinar ni percuma je, jadi apa salahnya kita menimba ilmu tentang kesihatan mental dari pakar kesihatan mental kan.
Bunuh diri merupakan punca kematian keempat tertinggi di kalangan anak muda lingkungan usia 15 - 29 tahun dalam Malaysia
Tau tak korang, kematian dari perbuatan bunuh diri merupakan punca kematian keempat tertinggi di kalangan anak muda lingkungan usia 15 - 29 tahun dalam Malaysia? Kes bunuh diri di Malaysia meningkat dari 10% ke 13.1% dalam masa 5 tahun kebelakang. Menurut satu kajian WHO dan kajian tempatan, bagi setiap kes kematian akibat bunuh diri, terdapat 10 - 20 percubaan bunuh diri yang terjadi.
|
Kecenderungan tingkah laku bunuh diri di kalangan remaja (sumber: Sinniah, A., Maniam, T., Sidi, H., & Oei, T. (2014).
Suicide ideation and intent in Malaysia: A review of
the literature. Comprehensive Psychiatry, 55(1), 95-
100.) |
Faktor-Faktor Mendorong Tindakan Bunuh Diri
Antara faktor-faktor yang mendorong seseorang untuk bertindak membunuh diri ialah:
- Masalah hubungan (pasangan, ibu bapa, rakan-rakan)
- Menghidapi penyakit mental (kemurungan, stress dan keresahan)
- Faktor-faktor sosial (etnik, ketiadaan pekerjaan tetap dan media (Internet dan media sosial).
Terdapat kajian yang mengaitkan seseorang yang menghabiskan masa yang banyak di hadapan skrin (TV / gajet)
lebih berisiko untuk membunuh diri!
Sebenarnya, individu yang mempunyai tingkah laku bunuh diri ni secara tak sedar menunjukkan tanda-tanda sebelum dia mengambil tindakan. Jadi kawan-kawan atau ahli keluarga yang berada di sekeliling perlu peka dengan tanda-tanda seperti kerap menjauhkan diri, tidak suka bergaul, perubahan sikap yang mendadak (contohnya dari ceria kepada murung atau perubahan emosi mendadak/mood swings), bertanya soalan yang pelik dan berkisar tentang kematian atau kehilangan, memberikan barang-barang yang dihargai kepada orang lain dan banyak lagi tanda-tanda lain yang di luar kebiasaan seseorang yang kita kenal.
Pendekatan Mencegah Dari Tindakan Bunuh Diri
Macamana kalau orang yang berniat nak bunuh diri tu ialah diri-sendiri atau ahli keluarga terdekat? Menurut pakar psikologi, kebanyakan kes bunuh diri boleh dicegah. Antara pendekatan yang boleh diambil untuk mencegah dari tindakan bunuh diri ialah:
- Peka terhadap perubahan sikap yang ditunjukkan. Bila seseorang menunjukkan perubahan sikap, dapatkan pertolongan pakar / kerap bertanya khabar individu tersebut.
- Berterus-terang. Sekiranya kita perasan seseorang tu menunjukkan tingkah laku membunuh diri, tanya secara terus-terang sebab mungkin ini akan menyelamatkan nyawanya.
- Sekiranya tidak mampu memberi nasihat / pertolongan, dapatkan bantuan dari orang lain / bantuan khidmat profesional untuk memberi pertolongan kepada rakan / ahli keluarga yang berisiko.
- Tanya soalan dan dengar. Tanyakan situasi mereka dan dengar luahan perasaan mereka supaya mereka tahu yang mereka tidak berseorangan di dunia ini.
- Bantu mereka mencari sebab untuk meneruskan kehidupan. Ingatkan mereka tentang sebab kenapa mereka perlu meneruskan kehidupan dengan memberi galakan kepada mereka.
- Bantu mereka untuk membuat perancangan selamat. Rancang aktiviti selamat (contohnya berkurung dalam bilik kosong tanpa ada peralatan berbahaya) dan senaraikan kontak rapat untuk dihubungi sekiranya mereka terdetik untuk menamatkan riwayat.
Itulah serba-serbi maklumat yang disampaikan oleh pakar psikologi dalam webinar yang aku sertai tu. Semoga perkongsian ni membantu sekiranya ada orang yang kita kenali berdepan dengan masalah-masalah peribadi sampai terfikir nak menamatkan riwayat hidup.
*Hubungi talian bantuan Befrienders di 03-79568145 sekiranya berdepan dengan situasi percubaan / rancangan membunuh diri.