Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ فُجَّارًا، إِلَّا مَنْ اتَّقَى اللَّهَ، وَبَرَّ، وَصَدَقَ
Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.”
(Hadis riwayat al-Tirmizi)
Berniaga ialah pekerjaan yang sangat digalakkan dalam Islam. Malah seringkali kita dengar hadis Nabi tentang kebaikan menceburi bidang perniagaan:
عَلَيْكُمْ بِالتِّجَارَةِ فَإِنَّ فِيْهَا تِسْعَةَ أَعْشَارِ الرِّزْقِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.”
Walaupun hadis ni dianggap dhaif, namun ramai umat Islam yang berpegang dan percaya dengan kebaikan berniaga. Mana taknya, kalau kita tengok di luar sana, ramai founder-founder perniagaan yang mampu hidup senang hasil dari berniaga. Sebahagian daripada mereka pernah bekerja makan gaji namun berhenti kerja untuk fokus kepada perniagaan.
Namun di sebalik keghairahan mengejar untung semasa berniaga, peniaga-peniaga perlu ingat dan sedar pentingnya berlaku jujur dalam perniagaan. Ini kerana tidak berkat rezeki yang diperoleh dengan cara menipu (sama ada menjual barang yang tidak sama dengan apa yang diiklankan atau barang yang rosak), mengurangkan timbangan (contohnya menjual karipap angin) dan menjual produk yang mendatangkan kemudaratan kepada orang lain (vape, rokok dan bahan-bahan terlarang).
Aku nak cerita pengalaman aku sendiri diuji bila berdepan dengan peniaga yang tidak jujur dalam mengiklankan menu makanan yang dijual di aplikasi Grab Food. Minggu lepas aku teringin makan sup tulang merah lepas menonton video Youtube RareTV kembara ke Singapura. Aku buka aplikasi Grab Food dan alangkah gembiranya bila ada sebuah restoran di Mont Kiara yang menjual sup tulang merah. Gambar yang diletakkan dalam aplikasi Grab Food tu pun memang gambar sup tulang merah Singapore:
|
Macam ni la rupa gambar yang diletakkan dalam aplikasi Grab Food |
Walaupun harganya agak mahal (RM26), aku pesan jugak sambil membayangkan keenakan menyedut sum-sum dalam tulang gearbox tu.
Tapi bila sampai, beginilah rupa sup yang diterima:
|
Mana gearbox nya? |
Sudahlah bukan sup merah yang dibayangkan, isi pun sangat sedikit tak berbaloi dengan harga yang dikenakan. Aku buka aplikasi Grab Food, sempat lagi berhusnuzon mungkin restoran tersilap hantar. Tapi tergerak hati untuk check review pelanggan-pelanggan.
Nampaknya bukan aku seorang yang telah tertipu dengan false advertising sup tulang merah, ramai pelanggan yang menyuarakan kekecewaan dan kesedihan sebab sup yang diterima bukanlah sup tulang merah dan isinya sangat sikit.
Jelas peniaga memang sengaja menipu pelanggan-pelanggan, yang difikirkan cuma keuntungan jualan dengan cara menipu dalam jualan. Semoga pemilik restoran ni cepat-cepat sedar dan bertaubat sebab takde gunanya mengaut keuntungan dengan cara tidak jujur, kerana harta yang diperoleh cuma akan membawa kecelakaaan di kemudian hari.
Pengajaran buat diri-sendiri, kena periksa ulasan pelanggan terdahulu sebelum buat pesanan. Tapi perkara ni tak akan terjadi sekiranya peniaga mengamalkan etika perniagaan iaitu tidak menipu dan mengurangkan timbangan.