Kredit foto: IG @bidadarihouse


Pada hukum asal, wanita yang kedatangan haid tidak wajib melaksanakan solat. Ini kerana haid adalah perkara yang mani' (penghalang) bagi kewajiban solat. Dalilnya adalah hadis Fatimah bin Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى
Maksudnya: “Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”
Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam mensyarahkan hadis ini: “Telah bersepakat para ulama bahawa ke atas wanita itu tidak ditaklifkan (diwajibkan) untuk bersolat dan tidak ditaklifkan untuk menggantikannya.” Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/22-23)

Solat yang ditinggalkan sewaktu haid tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Ini kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah ﷻ jadikan bagi wanita. Ini berdalil hadis yang diguna pakai adalah hadis Aisyah R.Anha:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid)."
Riwayat Muslim (335)

Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Berkata ashab kami (ulama Syafieyyah) setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaa (solat sunat) tawaf.” Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/26)

Kaum wanita juga tidak dibenarkan untuk tergesa-gesa untuk mandi bagi solat dan berhubungan kelamin sebelum darah haid benar-benar berhenti ini. Ini ditekan oleh Saiyidatina Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/171) dan al-Muwatta’ (189):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ
Maksudnya: "Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Dalam riwayat Imam Malik, diceritakan bahawa wanita-wanita tersebut sangat memberatkan diri dalam urusan agama sehingga mereka membawa pelita pada waktu malam berjumpa dengan Ummul Mukminin untuk memeriksa yang mereka sudah suci atau belum. Berkata Imam Ibn Abdil al-Barr Rahimahullah: “Ertinya Aisyah berkehendak agar kamu semua (kaum wanita) jangan terburu-buru untuk mandi wajib jika kamu nampak warna kekuningan, kerana itu adalah baki haid sehingga kamu nampak al-qossoh al-baido’ yakni cecair putih yang dikeluarkan oleh rahim (atau berdekatan dengan rahim) tatkala putusnya darah haid.” Rujuk al-Istidzkar (1/325)


Kaedah Menggantikan Solat Bagi Wanita Berhaid

Berkenaan kaedah mengqadakan solat bagi wanita, para ulama meletakkan dua kaedah berikut. Kaedah Zawal al-Mani` (Hilangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Nawawi:

“Sekiranya berbaki pada waktu kadar takbiratulihram dan lebih, yang tidak sampai kadar satu rakaat, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih dengan sepakat Ashab, wajib ke atasnya solat berkenaan kerana dia sempat mendapat satu bahagian daripadanya sama seperti hukum sempat mendapat solat Jamaah.” Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/65)

Apabila hilangnya mani’ (penghalang solat, seperti haid, dan gila) sedangkan berbaki masa sebelum habisnya suatu waktu solat kadar takbiratul ihram dan lebih (satu lahzah dan lebih), maka wajib diqadakan solat itu. Begitu juga solat sebelum itu wajib diqada' jika solat itu daripada jenis yang boleh dijamak dengannya. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

a) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Asar, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Asar dan mengqadakan solat Zuhur.
b) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Isyak, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Isyak dan mengqadakan solat Maghrib. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm.196-197)

Ini kerana waktu Asar adalah waktu darurat bagi solat Zuhur, dan waktu Isyak adalah waktu darurat bagi solat Maghrib. Rujuk kitab al-Tahqiq (hlm. 193-194) oleh Imam al-Nawawi.Kaedah Turu’ al-Mani` (Datangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Syirazi:

“Sekiranya seseorang itu sempat mendapatkan sebahagian daripada awal waktu solat kemudian datang kepadanya suatu keuzuran… sedangkan dia sempat mendapat daripada waktu itu masa yang yang cukup untuk dia solat fardu… maka kekallah kewajibannya dan wajib qada' jika hilang uzur itu.” Rujuk al-Majmu` (3/66-67)

Apabila haid datang, setelah berlalunya waktu solat dengan kadar perlaksanaan solat fardhu tersebut, maka wajib diqadakan solat itu, jika dia belum melaksanakannya. Ini kerana dia cukup masa melakukannya pada awal waktu, dan dia boleh bersuci seperti berwuduk dan mandi sebelum masuk waktu. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

a) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti.
b) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, sebelum sempat berlalunya masa kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, maka tidak wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar itu. Contohnya, masuk waktu Asar jam 4.45 petang, haid datang pada jam 4.46 petang.
c) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar bersuci dan perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, dan dia tidak boleh bersuci sebelum masuk waktu disebabkan tayammum atau sentiasa dalam hadas (kes istihadah atau kencing tak lawas), maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti. Jika tidak sempat bersuci dan menunaikan solat fardu, maka tidak wajib qada’. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 197)


Rumusan penting:
1. Tak perlu terburu-buru mandi hadas sebelum darah haid benar-benar berhenti. Contohnya kalau kebiasaannya period 6 hari, tapi hari ke-5 dah nampak kering kalau was-was tunggu sampai hari ke-6 baru mandi hadas dan qada' solat-solat fardhu yang ditinggalkan.
2. Kalau period habis pada waktu solat terakhir yang boleh dijamak (Asar / Isya'), maka wajib qada' solat sebelumnya (Zohor / Maghrib).
3. Period datang pada awal waktu solat fardhu contohnya masuk waktu jam 4.45 petang tiba-tiba kita dapati darah haid keluar jam 4.46 petang, maka tak wajib untuk qada' waktu solat tu. Tapi kalau selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan belum menunaikan solat tiba-tiba keluar period (contohnya lepas azan berhenti) maka wajib qada' solat.

Nota kaki: Aku yang dah umur 40-an pun kadang-kadang masih keliru bab-bab period ni. Semoga info ni menjadi panduan buat kita semua 😊

18 comments:

  1. tq sharing..sama la kita..confuse part period2 ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagus skrg ni ada sharing kat media sosial tentang ilmu2 ni cuma kena tapis betul2 dan semak sumber rujukan sebelum kita ambil jadi panduan.

      Delete
  2. Perkongsian yang bagus, refresh ilmu jugak.
    Akak rasa makin berusia memang makin keliru bab period sebab dah tak normal macam masa muda. Keliru dah habis ke belum sebenarnya ni. Kena ada ilmu, baru rasa yakin nak tentukan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama la kak. Kadang2 bila mula period pun keliru. Kadang2 2-3 hari nampak 'spotting' dulu sebelum period betul2 keluar. Mula2 ingat dah period la bila nampak tompok darah, tapi bila baca sumber rujukan agama, ulama kata spotting ni dikira sbg darah istihadhah bukan haid sbb sifat haid ni darah yang mengalir.

      Delete
  3. kadang masuk hari kelima dah kering. dah ready dah nak mandi. esoknya...ada lagi... waduhhh banyak kali berlaku...pernah jg laa smpi rs give up...sekarang tak lg hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya dulu pun macam tu jugak sebab takut org kata jangan melengah2kan mandi hadas. Tapi skrg ni saya akan tunggu betul2 habis tempoh biasa haid baru mandi hadas, biasanya hari ke-9. Hari ke-8 tu selalu check waktu subuh dan zohor dah kering tapi lepas asar sure keluar lagi.

      Delete
  4. p/s pasal kerja kosong tu, apa sahaja jawatan boleh tanya shirley. dia agent pekerjaan. so nombor yg sy share tu boleh kasi kat sesiapa yg tgh cari kerja. boleh call or WA. tanya dulu tentang jawatan yg nak apply dan lokasi available..

    ReplyDelete
  5. Replies
    1. Ayah2 pun wajib tau & ajarkan dgn anak2 perempuan tentang ilmu feqah ni ☺️

      Delete
  6. nice sharing sis....lately selalu sangat confuse dah tak macam muda-muda dulu,bila dah masuk umur 40an ni kadang risau eh dah nak monopause ke hahaha sekejap sangat tempoh haid

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha! Awal sangat nak menopause tu belum masuk 40-an lagi 😅

      Delete
  7. Saya jujur baru tahu ttg qada sholatnya. Selama ini, kalau udah selesai haid, ya sholat di bagian yg mana kita sudah suci. 😅. Ini ga pernah disebutin saat belajar agama dulu. Kdg saya pusing banyak bgt aliran sehingga ajarannya pun kdg berbeda.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul Fanny, kadang2 jumpa banyak sangat pendapat lagi2 sekarang zaman Internet maklumat di hujung jari kan 😅. Setakat ni sumber info dari Mufti Wilayah Persekutuan, saya lebih yakin.

      Delete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .